Perlumbaan Grand Prix Kanada bermula tanpa sebarang kemalangan. Cuaca yang baik menyambut pemandu-pemandu Formula One di litar Gilles Villeneuve. Hamilton memecut laju untuk mendahului perlumbaan. Alonso melakukan kesilapan pada awal permulaan apabila beliau cuba untuk memintas Hamilton lalu membenarkan Heidfeld untuk memintasnya. Massa pula berada ditempat keempat. Raikkonen kehilangan tempatnya kepada teman sepasukannya dan juga Rosberg. Dengan Heidfeld di tempat kedua, Hamilton tiada masalah untuk menjarakkan jurang antaranya dengan Alonso.
Button tidak dapat memulakan perlumbaan apabila keretanya tidak dapat meninggalkan petak permulaannya. Beliau merupakan pemandu pertama yang terkeluar daripada perlumbaan Grand Prix Kanada.
Speed terpaksa keluar dari perlumbaan pada pusingan ke-9 apabila Wurz melanggar beliau menyebabkan kerosakan kepada pada bahagian depan keretanya. Wurz turut mengalami kerosakan di bahagian rear wing.
Kedudukan sepuluh pemandu teratas pada pusingan ke-10 ialah Hamilton, Heidfeld, Alonso, Massa, Rosberg, Raikkonen, Fischella, Kubica, Sato dan Trulli. Hamilton mendahului dengan beza masa 7.7 saat diataranya dan Heidfeld.
Kesilapan yang dilakukan Alonso akan menyebabkan kerugian besar untuk beliau dari segi Kejuaraan Pemandu. Kemungkinan Alonso mula merasakan tekanan daripada Hamilton. Beliau tahu jika Hamilton memenangi perlumbaan ini ia akan menaikkan jati diri Hamilton. Oleh itu ia akan menjadi sukar untuk beliau untuk mengawal keadaan kelak. Namun ironinya untuk jangka panjang, kesilapan hari ini akan menghantui Alonso untuk perlumbaan-perlumbaan akan datang terutamanya Grand Prix USA, litar yang paling kurang Alonso gemari. Beliau pasti tidak dapat memaafkan dirinya sendiri ketika ini atas kesilapan tersebut.
Alonso melakukan kesilapan yang sama dilakukannya di selekoh pertama pada awal permulaan beberapa kali sekaligus membenarkan Massa untuk memintasnya untuk tempat ketiga pada pusingan ke-17.
Seperti yang dijangka Heidfeld adalah pemandu pertama masuk ke pit pada pusingan ke-20 untuk pitstop rutin pertama beliau. Beliau kembali ke litar dihadapan teman sepasukannya Kubica.
Hamilton masuk ke pit untuk pitstop rutin pertama beliau pada pusingan ke-21 dan kembali ke litar di tempat ke-4 di belakang Massa, Alonso dan Rosberg.
Safety Car dikeluarkan pada pusingan ke-22 apabila Sutil melanggar dinding di selekoh empat bagi membenarkan marshal membersihkan debris dan mengalihkan keretanya dari litar. Alonso dan Rosberg masing-masing masuk ke pit untuk pitsop rutin mereka sebaik sahaja Safety Car dikeluarkan.
Ini peluang yang baik untuk Alonso menebus kesilapan beliau. Hamilton pasti berasa kecewa kerana jurang masa yang dikumpul beliau hilang begitu saja. Perlumbaan kembali kepada sifar dan terbuka untuk memberi peluang kepada Hamilton, Massa dan Alonso memenangi perlumbaan ini
Hamilton masih mendahului perlumbaan dengan Heidfeld ditempat kedua apabila Safety Car masuk ke pit pada pusingan ke-25.
Kubica mengalami kemalangan besar pada pusingan ke-26 dan Safety Car kembali dikeluarkan. Pasukan keselamatan segera bergegas ke tempat kejadian.
Kebanyakan pemandu masuk ke pit untuk pitstop rutin masing-masing akibatnya kedudukan pemandu kucar-kacir.
Alonso dan Rosberg dikenakan hukuman 10 saat dalam pit kerana masuk ke pit ketika Safety Car pertama dikeluarkan. Nampaknya hari ini bukan hari Alonso untuk memenangi perlumbaan Grand Prix Canada.
Safety Car kedua kembali ke pit pada pusingan ke-33. Hamilton dan Heidfeld masih kekal di tempat pertama dan kedua. Kedudukan seterusnya ialah Alonso, Rosberg, Davidson, Schumacher, Webber, Massa, Fisichella and Raikkonen. Davidson dan Schumacher masing-masing masih belum masuk ke pit untuk pitstop rutin mereka manakala Alonso dan Rosberg masih belum menjalani hukuman penalti mereka.
Alonso dan Rosberg masuk ke pit untuk penalti mereka pada pusingan ke-36.
Kedudukan lapan pemandu teratas pada pusingan ke-40 ialah Hamilton, Heidfeld, Webber, Massa, Fisichella, Sato, Raikkonen dan Kovalainen.
Alonso memintas Kovalainen untuk tempat kelapan pada pusingan ke-42. Massa dan Fisichella pula disiasat oleh stewart kerana mereka keluar dari pit ketika lampu pit masih merah.
Kubica dihantar ke hospital besar berhampiran namun beliau dalam keadaan sedar dan stabil. Menurut laporan perubatan, Kubica tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan akan dikeluarkan pada hari Isnin. Walaubagaimanapun, ada kemungkinan beliau tidak dapat memandu untuk Grand Prix USA yang akan datang. Jika begitu, BMW Sauber perlu mencari pengganti sementara untuk beliau.
Pusingan ke-48 melihat Heidfeld kembali ke pit untuk pitstop rutin kedua beliau. Beliau kembali ke pit di tempat ketiga. Hamilton pula ke pit pada pusingan berikutnya dan kembali mendahului perlumbaan.
Giliran Albers pula melanggar dinding pada pusingan ke-49 menyebabkan Safety Car sekali lagi dikeluarkan.
Massa dan Fisichella pula dikenakan bendera hitam kerana melanggar lampu merah di pit ketika keadaan Safety Car pada pusingan ke-51. Keadaan yang sama berlaku beberapa tahun lepas apabila Montoya melakukan kesilapan yang sama. Berita buruk bagi Ferrari dan Massa dari segi Kejuaraan Pengeluar dan Pemandu namun berita baik bagi Alonso dan McLaren untuk memaksimakan kutipan mata.
Alonso dan Raikkonen masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua mereka pada pusingan ke-53 dan Alonso berjaya memintas Raikkonen ketika di dalam pit.
Safety Car kembali ke pit pada pusingan ke-54. Hamilton masih mendahului namun sebelum sempat beliau menamatkan satu pusingan, Safety Car sekali lagi dikeluarkan ke litar kerana marshal perlu mengalihkan kereta Liuzzi. Alonso pula kehilangan tempat ketujuh beliau kepada Raikkonen dan Schumacher apabila beliau sekali lagi terbabas di selekoh pertama. Kemudian Trulli pula melanggar hadangan tayar diselekoh pertama pada pusingan ke-58.
Safety Car masuk ke pit pada pusingan ke-60 dengan Hamilton masih mendahului dan Heidfeld di tempat kedua. Barrichello di tempat ketiga dengan Wurz dibelakangnya. Kovalainen, Raikkonen, Schumacher dan Alonso melengkapkan tempat kelapan teratas.
Alonso segera memintas Schumacher pada pusingan ke-60 untuk tempat ketujuh.
Pusingan ke-63 giliran Barrichello untuk pitsop rutin terakhir beliau. Wurz kini berada ditempat ketiga dan menaikkan Sato ke tempat kelapan untuk memungut mata terakhir perlumbaan.
Sato berjaya memintas Schumacher untuk tempat ketujuh pada pusingan ke-66 dan kemudian memintas Alonso untuk tempat keenam pada pusingan ke-68.
Hamilton melepasi garisan penamat ditempat pertama selepas mengharungi perlumbaan yang sukar dengan kemalangan demi kemalangan berlaku sepanjang perlumbaan. Heidfeld turut melakukan tugas dengan baik untuk mengakhiri perlumbaan di tempat kedua sementara Wurz ditempat ketiga walaupun dengan kerosakan rear wing pada keretanya. Kovalainen berada di tempat keempat dengan Raikkonen dibelakangnya. Sato mengutip 3 mata di tempat keenam, Alonso ditempat ketujuh dan Schumacher mengutip mata akhir perlumbaan ditempat kelapan. Hanya 12 kereta daripada 22 kereta berjaya menamatkan perlumbaan ini.
Ini merupakan satu perlumbaan yang baik dan bersih dari Hamilton Kini Hamilton mendahului 8 mata daripada Alonso dalam Kejuaraan Pemandu. Dengan hanya 6 perlumbaan dalam kariernya, British rookie yang hanya berusia 22 tahun ini telah mencipta sejarah baru dalam Formula One.
Selepas mengakhiri 5 perlumbaan berturut-turut di tempat kedua, akhirnya beliau berjaya memenangi perlumbaan pertama beliau. Tidak ramai yang menyangka kemenangan pertama datang begitu cepat untuk anak didik Ron Dennis ini. Namun yang pasti akan ada lebih banyak kemenangan menanti beliau untuk masa yang akan datang.
Heidfeld memulakan dan mengakhiri perlumbaan ditempat kedua. Ini adalah podium pertama untuk pasukan BMW Sauber tahun ini, dan podium keenam untuk Heidfeld sepanjang karier Formula One beliau. Podium ini adalah keputusan terbaik bagi pasukan BMW Sauber setakat ini. Hari ini adalah hari yang masam manis untuk BMW Sauber dengan keputusan baik Heidfeld sementara Kubica masih dirawat dihospital.
Pusingan ketujuh Formula One akan berlangsung di Indianapolis, USA minggu hadapan. Alonso mempunyai tugas yang berat untuk mengejar teman sepasukannya. Kejuaraan kini semakin sukar diramal.