08 July 2007

British GP


Kini kita beralih ke perlumbaan ke-9 dalam kalendar Formula One di Silverstone, Britain. 7 daripada 11 pasukan Formula One berasal dari Britain maka perlumbaan di Silverstone dianggap sebagai perlumbaan di ‘rumah’ sendiri oleh kebanyakan pasukan ini. Begitu juga untuk empat orang pemandu Formula One iaitu Lewis Hamilton, Anthony Davidson, Jenson Button and David Coulthard.

Namun semua harapan diletakkan di atas bahu Hamilton . Beliau berjaya mendapatkan petak pertama untuk pertama kalinya bagi pemandu Britain sejak 11 tahun yang lalu. Orang tempatan mengharapkan Lewis untuk memenangi perlumbaan hari ini dan jika beliau berjaya melepasi garisan penamat di tempat pertama, beliau akan mencipta sejarah sekali lagi sebagai rookie yang memenangi perlumbaan di ‘rumah’ sendiri pada tahun pertama dalam karier Formula One beliau.

Walaubagaimana pun beliau terpaksa berhadapan bukan sahaja teman sepasukannya Fernando Alonso yang jelas menunjukkan kepantasan beliau di sessi kelayakan semalam apabila mendahului pada sessi pertama dan kedua, malah kedua-dua pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen dan Felipe Massa. Ferrari terutamanya Kimi Raikkonen telah mendominasi sepanjang minggu ini pada sessi latihan yang berlangsung kecuali pada sessi latihan pertama di mana Hamilton mendahului.

Perlumbaan di Silverstone juga terkenal dengan ketidak tentuan cuacanya yang memungkinkan satu perlumbaan yang sukar diramal. Jika hujan turun ketika perlumbaan, ini bermakna strategi pasukan terpaksa diubah dan pastinya keadaan ini menjanjikan perlumbaan yang lebih menarik untuk penonton.

Namun perlumbaan di Silverstone bermula di bawah keadaan cuaca yang cerah dan baik. Selepas pusingan formasi yang pertama, kereta Massa menghadapi masalah mekanikal dan beliau terpaksa memulakan perlumbaan di tempat terakhir dari pitlane. Ini adalah berita baik bagi pasukan McLaren.

Selepas kelima-lima lampu merah dinyalakan, perlumbaan bermula tanpa sebarang insiden dan kedudukan keempat teratas tidak berubah dengan Hamilton mendahului diikuti oleh Raikkonen, Alonso dan Robert Kubica dibelakangnya. Heikki Kovalainen, Giancarlo Fisichella, Nick Heidfeld dan Ralf Schumacher pula melengkapkan kedudukan lapan tempat teratas.

Massa pula mengakhiri pusingan keenam di tempat ke-13. Hamilton dan Raikkonen merekod masa terpantas dalam perlumbaan bersilih ganti ketika ini menunjukkan betapa sengitnya perlumbaan antara dua pemandu ini.

Webber mangsa pertama perlumbaan apabila beliau kembali ke pit untuk bersara di pusingan kelapan.

Pasukan Ferrari masih bimbang dengan keadaan kereta Massa jika keadaan di grid permulaan akan berulang apabila Massa masuk ke pit untuk pitstop rutin beliau, Namun ketika ini Massa tiada sebarang masalah untuk memintas Nico Rosberg dan David Coulthard untuk tempat ke-11 di pusingan kelapan. Selepas pusingan kesebelas beliau telah memintas Trulli untuk tempat ke-9. Dalam 12 pusingan sejak perlumban dimulakan, Massa telah memintas 12 kereta. Beliau juga hanya lebih kurang 25 saat dibelakang Hamilton.

Dari pusingan ketiga belas, Raikkonen mula cuba untuk memintas Hamilton. Alonso masih kekal di tempat ke-3. Kelihatannya beliau mempunyai strategi tersendiri untuk perlumbaan ini dan masih merapatkan jurang antaranya dengan Raikkonen.

Hamilton masuk ke pit untuk pitstop rutin pertama beliau di pusingan keempat belas membenarkan Raikkonen mendahului perlumbaan. Ini bermakna kereta beliau adalah yang paling ringan di antara empat pemandu teratas. Hamilton melakukan kesilapan kecil ketika di pit menyebabkan beliau kehilangan sedikit masa. Hamilton keluar dari pit dibelakang Massa. Raikkonen pula tidak membuang masa untuk menambahkan jurang masa antaranya dengan pemandu McLaren. Alonso kini mendahului perlumbaan.

Raikkonen masuk ke pit pada pusingan kelapan belas dan beliau keluar dari pit di hadapan Hamilton.

Alonso masuk ke pit pada pusingan seterusnya dan ternyata jumlah minyak yang berlebihan yang dibawa oleh beliau pada sessi kelayakan semalam berbaloi apabila beliau berjaya kembali ke litar dan mengekalkan kedudukan beliau di tempat pertama.

Adrian Sutil terkeluar dari perlumbaan apabila enjin beliau mengalami masalah sementara Schumacher yang buat pertama kalinya mendahului Jarno Trulli dalam sesi kelayakan semalam terpaksa menamatkan perlumbaannya pada pusingan ke-22. Kelihatannya seperti kereta beliau mempunyai masalah suspensi. Beliau pasti merasa sangat kecewa kerana ini adalah perlumbaan terbaik beliau pada musim ini. Beberapa pusingan selepas itu, Trulli turut mengalami nasib yang sama dan kedua-dua kereta Toyota kini terkeluar dari perlumbaan.

Berbanding dengan pemandu Toyota, nasib Massa adalah lebih baik. Perlumbaan belum pun sampai separuh daripada 59 pusingan lengkap, beliau telah memintasi lebih 14 kereta untuk berada di tempat ke-7 selepas menyelesaikan pitstop rutin pertama beliau tanpa sebarang masalah.

Alonso tidak begitu gembira apabila melepasi Scott Speed untuk melengkapkan satu pusingannya. Selepas itu Speed dilanggar oleh Wurz sebaik saja Alonso memintasnya menyebabkan suspensi kereta STR2 beliau gagal berfungsi. Perlumbaan ini telah tamat untuk Speed. Sementara itu Davidson kembali ke pit untuk bersara pada pusingan yang ke-30.

Alonso kehilangan banyak masa untuk melepasi ‘backmarkers’ dan ini menyebabkan Raikkonen berjaya mencuri beberapa saat darinya untuk merapatkan jurang antara tempat pertama dan tempat kedua.

Kini giliran Alonso pula masuk ke pit lebih dahulu dari Hamilton pada pusingan ke-37. Beliau kembali ke litar di belakang Hamilton di tempat ketiga. Hamilton masuk ke pit pada pusingan seterusnya dan beliau keluar dari pit di tempat kelima.

Raikkonen kini mendahului perlumbaan dan beliau tidak melepaskan peluang untuk menambah jurang masa antaranya dengan Alonso bagi memastikan beliau akan menamatkan perlumbaan ini ditempat pertama.

Giliran Raikkonen masuk ke pit pada pusingan ke-42 dan strategi Ferrari meletakkan minyak yang lebih pada kereta Raikkonen pada pitstop rutin pertama beliau berjaya meletakkan Raikkonen di hadapan Alonso apabila beliau kembali ke litar.

Massa masuk ke pit tiga pusingan selepas teman sepasukannya untuk pitstop rutin terakhir beliau dan kembali ke litar di belakang Kubica di tempat kelima.

Pemandu di tempat kesepuluh teratas selepas pitstop rutin kedua didahului oleh Raikkonen ialah Alonso di tempat kedua diikuti oleh Hamilton, Kubica, Massa, Heidfeld, Kovalainen, Fisichella, Rubens Barrichello dan Jenson Button.

Kedua-dua pemandu kereta Ferrari menunjukkan prestasi yang begitu baik. Jika Massa tidak mempunyai masalah selepas pusingan formasi pertama kemungkinan beliau akan turut sama bersaing dengan Raikkonen dan Alonso untuk bergelar juara di litar Silverstone ini. Pemanduan beliau pada perlumbaan ini adalah antara yang terbaik sepanjang kareer beliau.

Dengan baki lapan pusingan, Raikkonen telah berjaya meletakkan jarak hampir 8 saat antaranya dengan Alonso. Ferrari kini hampir boleh mulai menghela nafas lega untuk Raikkonen kerana kelihatan beliau sudah menguasai perlumbaan ini sepenuhnya.

Liuzzi mangsa terakhir yang terpaksa bersara dari perlumbaan pada pusingan ke-55.

Raikkonen berjaya mengekalkan kedudukan beliau untuk memenangi perlumbaan ini. Ia merupakan kemenangan pertama bagi Raikkonen di Silverstone. Alonso kemudian melintasi garisan penamat di tempat kedua. Hamilton hanya berjaya mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga, sekali lagi di atas podium untuk kali ke-9 musim ini. Ini adalah perlumbaan yang dimenangi oleh Ferrari dek kerana susunan stategi yang begitu baik berbanding aturan strategi untuk Alonso oleh pasukan McLaren.

Cuaca kekal cerah disepanjang perlumbaan .

Hamilton kelihatan sedikit kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan ini seperti yang diharapkan manakala Raikkonen dan Alonso nampak lebih tenang selepas perlumbaan. Alonso merupakan pemandu terpantas untuk pasukan McLaren sepanjang minggu. Beliau turut merapatkan jurang kejuaraan kepada hanya 12 mata. Sementara itu Raikkonen mula mencabar untuk gelaran juara secara serius dan jika prestasi baik beliau berterusan tanpa sebarang masalah dengan kereta F2007 miliknya, Raikkonen pasti boleh melakukannya. Kecekapan Massa juga tidak boleh diperlekehkan. Ini bermakna dengan baki 8 perlumbaan, dunia bakal menyaksikan saingan sengit antara empat pemandu dari dua pasukan besar Formula One.

McLaren mendahului Kejuaraan Pengeluar dengan 128 mata. Ferrari kurang 25 mata di belakang mereka sementara BMW Sauber F1 Team masih kekal di tempat ketiga dengan 56 mata. Renault mempunyai 31 mata di tempat keempat dan AT&T WiliamsF1 Team di tempat kelima dengan beza 2 mata.

Bagi Kejuaraan Pemandu pula, Hamilton masih mendahului dengan 70 mata, Alonso di belakangnya dengan 58 mata, Raikkonen ditempat ketiga dengan 56 mata dan Massa di tempat keempat dengan beza 1 mata sahaja.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Nurburgring, Jerman dalam masa 2 minggu yang akan datang. Jumpa anda kelak!

0 comments:

Post a Comment

Do it!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...