15 April 2007

Bahrain GP

Bahraingp Grand Prix Bahrain merupakan perlumbaan yang sempurna buat Felipe Massa apabila beliau berjaya mendapat tempat pertama selepas mendahului perlumbaan dari mula hingga akhir dari petak pertama. Ini ialah kemenangan pertama beliau untuk pasukan Ferrari sejak musim baru 2007 bermula dan kemenangan ketiga untuk sepanjang karier beliau dengan Ferrari. Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan sekali lagi di tempat kedua dengan Kimi Raikkonen terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga.

Massa mendahului perlumbaan sebaik sahaja kelima-lima lampu merah padam namun bukan tanpa persaingan yang sengit dari Hamilton. Raikkonen, Alonso, Heidfeld dan Kubica kekal di tempat masing-masing. Heikki Kovalainen merupakan pemandu yang paling banyak berganjak ke tempat ke-9 dari petak ke-12.

Di belakang grid, Takuma Sato dan Adrian Sutil menyebabkan Jenson Button dan Scott Speed terkeluar dari perlumbaan. Insiden ini memaksa Safety Car keluar pada pusingan yang pertama. Adrian Sutil kemudian kembali ke pit untuk memperbaiki keretanya dan mengambil bahagian semula 2 pusingan selepas itu.

Safety Car kembali ke pit pada pusingan ke-3 dan perlumbaan bermula semula. Massa tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan kedudukannya dari kedua-dua pemandu McLaren. Raikkonen pula kelihatan tidak bersedia untuk memulakan perlumbaan selepas Safety Car masuk ke pit dan ketinggalan agak jauh di belakang Alonso apabila mereka melepasi garisan permulaan. Namun beliau segera bangkit dan mula mencatat masa terpantas untuk mengejar Alonso dan selepas satu pusingan beliau mula bertindak untuk memintas juara dunia tersebut.

Nico Rosberg dan Alex Wurz masing-masing mengejar Jarno Trulli untuk kedudukan kesepuluh pada pusingan ke-6. Persaingan ini berlanjutan untuk beberapa pusingan. Pada pusingan ke-9 Rosberg kehilangan tempatnya pada Coulthard apabila hampir-hampir melanggar teman sepasukannya.

Selapas 10 pusingan kedudukan 10 teratas ialah Massa, Lewis, Raikkonen, Alonso, Heidfeld, Kubica, Fisichella, Webber, Kovalainen dan Trulli.

Pada pusingan ke-15 Jarno Trulli berjaya memintas Kovalainen untuk ke-9 dan Coulthard telah memintas Wurz untuk tempat ke-10.

Pusingan ke-17 Wurz, Coulthard dan Schumacher antara yang pertama masuk ke pit untuk pitstop. Coulthard keluar diharapan Wurz.

Lewis masuk ke pit untuk pitstop pada pusingan ke-19. Beliau antara pemandu 10 ke atas yang pertama masuk ke pit untuk pitstop rutin beliau. Seperti yang dijangkakan, kereta beliau lebih ringan dari teman sepasukannya Alonso pada sessi kelayakan semalam.

Pusingan ke-21, giliran Massa untuk pitstop rutin beliau. Ferrari mengisi kurang minyak pada kereta Massa untuk memastikan beliau keluar ke litar di hadapan Lewis dan strategi mereka membuahkan hasil.

Pusingan ke-22, Alonso masuk ke pit dan Raikkonen mendahului perlumbaan ini. Liuzzi pula terpaksa memberhentikan perlumbaan apabila pasukan Toro Rosso mendapati kereta STR02 beliau mempunyai masalah.

Pusingan ke-23, Raikkonen dan Heidfeld masuk ke pit untuk pitstop rutin masing-masing dan Ferrari sekali lagi berjaya dalam strategi mereka apabila Raikkonen kembali ke litar dihadapan Alonso untuk memintas pemandu Sepanyol itu untuk tempat ke-3. Heidfeld pula masih kekal di tempat ke-5 dan segera memberi cabaran kepada Alonso.

Selepas pusingan ke-30, 10 tempat teratas ialah Massa, Lewis, Raikkonen, Alonso, Heidfeld, Kubica, Coulthard, Fisichella, Webber dan Trulli.

Heidfeld berjaya memintas Alonso pada pusingan ke-31. Ia merupakan pintasan terbaik buat musim 2007 setakat ini dan Dr Mario Theissen sedia maklum tentang kenyataan ini apabila beliau dan anak-anak buahnya tersenyum gembira di kotak pit BMW Sauber. Kereta MP4-22 yang dipandu Alonso nampaknya tidak memberi tindak balas seperti yang diharapkan beliau.

Enjin kereta Sato gagal berfungsi sebaik sahaja beliau melintas garisan permulaan pada pusingan ke-34 dan memaksa beliau terkeluar dari perlumbaan. Beliau adalah mangsa ke-4 yang gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix Bahrain. Dihadapan grid pula Raikkonen mula mengejar Lewis untuk tempat ke-2.

Coulthard adalah mangsa ke-5 perlumbaan ini apabila enjin kereta beliau pula gagal berfungsi disebabkan ‘over-heating’ pada pusingan ke-37.

Massa masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua beliau pada pusingan ke-40. Beliau kembali ke litar di belakang Alonso namun pemandu-pemandu dihadapan beliau masih belum masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua mereka.

Raikkonen dan Heidfeld pula masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua sepusingan selepas Massa. Lewis kini mendahului perlumbaan Grand Prix Bahrain.

Pada pusingan ke-42, giliran Webber pula terkeluar dari perlumbaan maka berakhirlah perlumbaan buat pasukan Red Bull Racing seperti mana pasukan ‘adik’ mereka Toro Rosso.

Pusingan ke-43 Alonso masuk ke pit untuk pitstop rutin kedua beliau dan kembali ke litar di belakang Heidfeld. Teman sepasukannya pula masuk ke pit pada pusingan ke-44 dan Massa kembali mendahului perlumbaan ini. Beliau keluar dihadapan hadapan Raikkonen di tempat ke-2.

Massa tidak melakukan sebarang kesilapan sepanjang perlumbaan. Ini dapat menebus kesilapan besar beliau di Sepang minggu lalu apabila beliau terleka pada permulaan perlumbaan dan seterusnya terbabas apabila cuba memintas Hamilton.

Davidson adalah mangsa ke-enam Grand Prix Bahrain apabila enjin beliau mengeluarkan asap dan minyak pada pusingan ke-52. Kedua-dua pemandu Super Aguri mengalami masalah yang sama dengan kereta mereka.

Hamilton dan Fisichella tidak akan hanya menerima nasib mereka tanpa mencuba untuk memintas Massa dan Trulli. Dengan 3 baki pusingan, Hamilton mengejar Massa dan kurang 4 saat memisahkan beliau dengan pemandu Ferrari tersebut. Alonso juga tidak berputus asa untuk memintas Heidfeld untuk tempat ke-4. Massa yang pada pusingan ke-10 mula yakin yang beliau akan memenangi perlumbaan ini mula merasa bahang dari cabaran Hamilton dan memberi tindak balas yang sepatutnya.

Massa berjaya mengekalkan kedudukan pertama beliau dengan Hamilton terpaksa berpuas hati di tempat ke-2. Kimi Raikkonen tidak dapat mengejar Hamilton dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-3. Heidfeld sekali lagi mengakhiri perlumbaan di tempat ke-4 dengan Alonso tidak jauh di belakangnya. Kubica berada di tempat ke-6 sementara Trulli kekal di tempat ke-7. Fisichella mengumpul mata terakhir perlumbaan di tempat ke-8.

Alonso, Hamilton dan Raikkonen kini berkongsi 22 mata dan mendahului Kejuaraan Pemandu. Massa ketinggalan 5 mata di belakang mereka.

Dengan kemenangan ini, kini Massa membuktikan bahawa beliau adalah setanding dengan teman sepasukannya Kimi Raikkonen dan persaingan antara mereka berdua akan menjadi lebih sengit lagi selepas ini. Seperti kata Massa diakhir perlumbaan: “Fantastico!”


0 comments:

Post a Comment

Do it!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...